Thursday, January 1, 2009

UCAPAN BAJET TAHUN 2009 Oleh YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI




UCAPAN BAJET TAHUN 2009
Oleh
YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
KETIKA MEMBENTANG
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2009)
DI DEWAN RAKYAT
PADA 29 OGOS 2008
KERAJAAN PRIHATIN

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi
menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2009 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.


PENDAHULUAN

Bismillahir Rahmanir Rahim

2. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari-Nya jua,
saya dapat membentangkan Bajet 2009 di Dewan yang mulia ini.

3. Sejak lima puluh satu tahun yang lalu, Kerajaan telah berjaya membawa
kesejahteraan kepada rakyat, berlandaskan kepada prinsip perkongsian kuasa,
mengutamakan kestabilan politik, berpegang kepada kesederhanaan dan mementingkan
kemakmuran ekonomi. Sebenarnya, negara kita merupakan antara negara yang paling stabil
dan makmur di rantau ini. Kejayaan ini telah dicapai sungguhpun negara telah menghadapi
pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya pada tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap
krisis itu telah kita atasi. Hari ini kita berdepan dengan persekitaran harga global yang tinggi
dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan. Namun, saya yakin, sekiranya kita kekal
bersatu padu, kita akan sekali lagi berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi sekarang.

4. Semangat setia kawan yang ikhlas teruji ketika kita menghadapi kesukaran dan
kesusahan. Kawan di masa senang memang ramai, tetapi kawan sejati yang setia dan
sanggup bersama di masa susah tidak mudah dicari. Semangat kesetiaan kepada negara
dan bangsa adalah amat penting untuk membina sebuah negara yang aman dan makmur.
Dalam negara berdemokrasi memang wujud perbezaan pendapat. Sungguhpun begitu, kita
harus bersatu teguh apabila berdepan isu-isu bersabit kepentingan negara.

5. Persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan global kini menghadapi cabaran dan
perkembangan tidak menentu. Seluruh dunia terpaksa menanggung beban akibat dari harga
minyak yang meningkat tinggi secara mendadak, di samping meningkatnya harga bahan
makanan dan komoditi lain. Ketidakstabilan sektor kewangan di Amerika Syarikat menggugat
pertumbuhan ekonomi di negara tersebut serta Eropah. Walaupun aktiviti ekonomi di rantau
Asia, terutamanya India dan China, kekal menggalakkan, namun sokongan permintaan
domestik di negara-negara tersebut mungkin terjejas sedikit akibat tekanan inflasi. Senario
ekonomi ini pastinya mempengaruhi perkembangan ekonomi global dan ekonomi negara kita
tidak terkecuali dari pengaruhnya.

6. Kita bersyukur kerana ekonomi negara terus kukuh dan berdaya tahan. Asas
ekonomi dan pasaran eksport yang pelbagai, serta rizab antarabangsa yang tinggi, telah
meletakkan ekonomi negara lebih fleksibel untuk menghadapi persekitaran luar negara yang
mencabar.

7. Ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang mantap. Asas ekonomi negara
yang kekal kukuh serta peningkatan permintaan dalam negeri membolehkan keluaran dalam
negeri kasar (KDNK) bagi suku pertama mencatat pertumbuhan 7.1 peratus, dan 6.3 peratus
bagi suku kedua, lalu meletakkan KDNK bagi setengah tahun pertama 2008 pada tahap 6.7
peratus. Berasaskan daya tahan ekonomi yang kukuh, pengalaman dan keupayaan negara,
serta sokongan padu rakyat, kita berjaya mengatasi beberapa krisis ekonomi dan kewangan
terdahulu. Meskipun negara tidak terkecuali daripada kesan negatif disebabkan harga
minyak yang meningkat, Kerajaan yakin ekonomi negara akan terus stabil, dengan
pertumbuhan KDNK dianggarkan 5.7 peratus pada tahun ini.


BAJET 2009

8. Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan
kesejahteraan yang telah kita bina selama ini terus terjamin. Untuk itu, adalah penting
diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya kita berupaya menangani kesan persekitaran
luar yang semakin sukar.

9. Bertemakan Kerajaan Prihatin dan selaras dengan lima teras Misi Nasional, Bajet
2009 akan menumpukan kepada tiga strategi khusus, iaitu:
Pertama: Menjamin Kesejahteraan Rakyat;
Kedua: Membangunkan Modal Insan Berkualiti; dan
Ketiga: Memperkukuhkan Daya Tahan Negara.

STRATEGI PERTAMA: MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT

10. Kerajaan akan terus memastikan rakyat sama-sama menikmati kemakmuran, hasil
daripada pertumbuhan ekonomi negara. Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan pelbagai
langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan
berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan Keselamatan Sosial

11. Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan miskin. Kesukaran yang dihadapi
oleh golongan berpendapatan rendah, berikutan daripada kenaikan kos sara hidup, amat
difahami oleh Kerajaan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan
pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada 400 ringgit sebulan
kepada 720 ringgit sebulan untuk Semenanjung, 830 ringgit sebulan untuk Sarawak dan 960
ringgit sebulan untuk Sabah. Ini bermakna, bilangan penerima bantuan meningkat dua kali
ganda daripada 54 ribu isi rumah kepada 110 ribu isi rumah. Ini termasuk bilangan warga
emas yang layak meningkat daripada 14 ribu kepada 40 ribu penerima. Langkah ini
melibatkan perbelanjaan tambahan sejumlah 500 juta ringgit.

12. Kerajaan menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada kemajuan yang
kita kecapi hari ini. Bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi
kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara Kerajaan yang telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada 720 ringgit
sebulan, mulai 1 Januari 2009. Peningkatan ini melibatkan seramai 75 ribu pesara wajib,
termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan 140 juta ringgit pada
2009.

13. Kerajaan telah menyediakan tabung bantuan bagi mereka yang dilanda bencana,
seperti banjir dan kebakaran. Untuk memperluaskan skop bantuan, Kerajaan akan
menubuhkan satu tabung bantuan khas berjumlah 25 juta ringgit bagi menyalurkan
pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut,
seperti akibat kemalangan.

14. Kerajaan prihatin terhadap kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dalam
suasana kekeluargaan. Sebagai satu inisiatif, Kerajaan, dengan kerjasama sektor korporat,
telah mewujudkan program Rumah Tunas Harapan, di mana sektor korporat menyediakan
rumah, manakala Kerajaan membayar kos mengurus. Memandangkan tanggungjawab besar
ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, Kerajaan akan menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara
daripada 600 ringgit kepada seribu ringgit sebulan. Kenaikan ini akan berkuat kuasa mulai 1
September 2008. Untuk memperluaskan lagi program ini, Kerajaan menyeru kerjasama
sektor swasta untuk membina lebih banyak Rumah Tunas Harapan.

Membasmi Kemiskinan

15. Pelbagai langkah yang diambil oleh Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar
kemiskinan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.
Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan 43 peratus daripada 67,300 isi rumah kepada
38,400 isi rumah pada tempoh yang sama. Kerajaan yakin matlamat menghapuskan
kemiskinan tegar akan dapat dicapai pada 2010.

16. Kerajaan akan terus melaksanakan program meningkatkan pendapatan serta
menyediakan latihan kemahiran dan kerjaya di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan
Rakyat. Selain itu, Program Lonjakan Mega Luar Bandar di Pulau Banggi, Sabah dan
Tanjung Gahai, di Kuala Lipis, Pahang sedang dilaksanakan. Untuk tujuan ini, peruntukan
220 juta ringgit disediakan, yang akan memanfaatkan 13,300 isi rumah.

17. Bagi perumahan pula, dalam tempoh 2006 hingga 2008, sebanyak 3,500 rumah
baru telah dibina dan dua ribu rumah dibaik pulih di bawah Program Bantuan Rumah untuk
membantu keluarga miskin tegar memiliki rumah kediaman yang selesa. Pada tahun 2009,
peruntukan lima puluh juta ringgit disediakan untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik
pulih seribu buah rumah. Keutamaan diberi kepada golongan tua, uzur, cacat dan ibu atau
bapa tunggal yang mempunyai ramai tanggungan serta mangsa bencana alam.

18. Kemiskinan tegar di Sabah dan Sarawak juga telah dikurangkan dengan ketara. Di
Sabah, jumlah isi rumah miskin tegar dikurangkan daripada 32,400 pada tahun 2004 kepada
18,100 pada tahun 2007. Di Sarawak, jumlah tersebut berkurangan daripada 5,200 kepada
3,600. Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di
kedua negeri tersebut, terutamanya mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan
elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, 580 juta ringgit disediakan bagi Sabah dan 420
juta ringgit bagi Sarawak.

19. Sebagai satu langkah Kerajaan meringankan lagi beban kewangan golongan
berpendapatan rendah, isi rumah yang membayar bil elektrik dua puluh ringgit dan ke bawah
sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir
2009. Kerajaan akan menanggung kos bil tersebut yang berjumlah 170 juta ringgit. Seramai
1.1 juta isi rumah akan mendapat manfaat daripada langkah ini.

Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat

20. Kerajaan sedar bahawa peningkatan kadar inflasi telah turut memberi kesan
kepada kuasa beli golongan berpendapatan sederhana. Untuk membantu mereka, Kerajaan
mencadangkan rebat cukai 350 ringgit seorang yang diberikan pada masa ini, dinaikkan
kepada 400 ringgit bagi pendapatan bercukai 35 ribu ringgit dan ke bawah. Berikutan
langkah ini, seramai 100 ribu pembayar cukai dalam golongan pendapatan sederhana tidak
lagi dikenakan cukai.

21. Di samping itu, untuk mengurangkan beban cukai, terutamanya individu yang
bergantung kepada pendapatan daripada simpanan, Kerajaan mencadangkan pendapatan
faedah ke atas simpanan bagi individu dikecualikan cukai.

22. Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan pengguna, Kerajaan
mencadangkan duti import ke atas beberapa barangan pengguna dikurangkan daripada di
antara sepuluh peratus dan 60 peratus kepada di antara lima peratus dan 30 peratus.
Barangan terlibat termasuk pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan
cerek elektrik. Di samping itu, Kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barang
makanan di antara dua peratus dan 20 peratus dikecualikan sepenuhnya. Antara barang
makanan terlibat adalah mihun, biskut, jus buah-buahan dan jagung manis dalam tin.

23. Pada masa ini, kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu
dan syarikat dikenakan cukai jalan yang lebih tinggi berbanding kenderaan sama berenjin
petrol. Kerajaan akan mengurangkan kadar cukai jalan kenderaan penumpang persendirian
berenjin diesel milik individu dan syarikat supaya sama dengan kadar cukai jalan kenderaan
berenjin petrol, berkuat kuasa 1 September 2008.

Menjamin Kebajikan Pekerja

24. Sektor swasta perlu mengutamakan kebajikan pekerja. Untuk menyokong usaha
sedemikian, Kerajaan mencadangkan elaun perjalanan antara rumah dan tempat kerja yang
diberikan oleh majikan kepada pekerja diberi potongan sepenuhnya, manakala pekerja yang
menerima elaun perjalanan diberi pengecualian cukai sehingga 2,400 ringgit setahun.

25. Di samping itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberikan ke atas
manfaat yang dinikmati pekerja, seperti berikut:

Pertama: bantuan kadar faedah bagi pinjaman berjumlah sehingga 300 ribu ringgit untuk
perumahan, kenderaan bermotor dan pendidikan;
Kedua: telefon mudah alih serta bil telekomunikasi dan langganan internet yang dibayar
oleh majikan;
Ketiga: nilai diskaun sehingga seribu ringgit setahun ke atas barangan jualan syarikat
yang ditawarkan kepada pekerjanya;
Keempat: nilai diskaun ke atas perkhidmatan yang diniagakan oleh syarikat yang
ditawarkan kepada pekerja, seperti sekolah swasta yang memberi pendidikan
percuma kepada anak pekerjanya; dan
Kelima: elaun penjagaan anak sehingga 2,400 ringgit setahun bagi anak-anak pekerja.

26. Pada masa ini, pengecualian cukai ke atas manfaat perubatan yang disediakan
oleh majikan tidak merangkumi perbelanjaan materniti. Kerajaan mencadang
memperluaskan pengecualian cukai kepada perbelanjaan materniti. Di samping itu,
memandangkan terdapat rakyat yang menggunakan perubatan tradisional, seperti
akupunktur dan ayurvedic, Kerajaan juga mencadangkan pengecualian cukai diberi ke atas
manfaat perubatan tradisional yang diterima oleh pekerja.

27. Untuk membantu penjawat awam, Kerajaan akan meningkatkan tahap kelayakan
untuk mendapat subsidi yuran TASKA bulanan 180 ringgit. Tahap kelayakan pendapatan isi
rumah bulanan dinaikkan daripada dua ribu ringgit kepada tiga ribu ringgit, mulai 1 Januari
2009.

28. Pada masa ini, kakitangan Kerajaan diberi kemudahan tambang pergi balik
percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal, iaitu di antara
Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Bagi mengeratkan silaturahim keluarga,
kemudahan ini akan diberikan setiap tahun, mulai 1 Januari 2009.

Menambah Baik Pengangkutan Awam

29. Kerajaan akan terus menggalakkan lebih ramai warga menggunakan
pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup. Saya telah
turun padang baru-baru ini untuk melihat sendiri keadaan pengangkutan awam di ibu kota
kita. Saya percaya, pengangkutan awam yang lebih efisien dan bersepadu amat penting bagi
menyediakan kemudahan perjalanan yang lancar serta meningkatkan kekerapan
perkhidmatan.

30. RapidKL dan RapidPenang telah ditubuhkan untuk memperbaiki sistem
pengangkutan awam di Lembah Kelang dan di Pulau Pinang. Kini, RapidKL menyediakan
perkhidmatan bas kepada 166 laluan merangkumi lebih 980 kawasan kediaman. Sejumlah
14 peratus merupakan laluan sosial yang tidak menguntungkan dan tidak diliputi oleh
syarikat pengangkutan awam yang lain. Laluan sosial ini masih beroperasi untuk memenuhi
hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat, terutamanya daripada kalangan berpendapatan
rendah, mendapat manfaat daripada usaha penambahbaikan pengangkutan awam. Pada
puratanya, seramai 400 ribu penumpang sehari menggunakan perkhidmatan bas dan 350
ribu menggunakan perkhidmatan rel RapidKL. Keseluruhannya, 44 peratus dari
perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Kelang disediakan oleh RapidKL.

31. RapidPenang pula menyediakan perkhidmatan bas kepada 33 laluan di 106
kawasan perumahan dengan jumlah 46 ribu penumpang sehari. RapidPenang kini
menyediakan 60 peratus daripada jumlah perkhidmatan bas di Pulau Pinang. Untuk
memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan, 200 bas akan ditambah, menjadikan jumlah 350
bas. Dengan ini, perkhidmatan bas RapidPenang dijangka dapat diperluaskan lagi dengan 14
jaringan laluan baru dan jumlah penumpang meningkat kepada 120 ribu penumpang sehari
pada penghujung tahun 2009.

32. Untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, sebanyak 35 bilion ringgit
akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014. Ini termasuk projek-projek
meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan rel baru, menambah
bilangan bas serta menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan.

33. Sistem LRT sedia ada di Lembah Kelang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer,
iaitu masing-masing sepanjang 15 kilometer bagi Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang.
Apabila siap pada tahun 2011, kedua-dua projek ini akan memanfaatkan 2.6 juta bilangan
penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong, berbanding
1.9 juta pada masa ini.

34. Pada masa yang sama, perolehan 35 set tren bagi Aliran Kelana Jaya telah
dilaksanakan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2010, dengan kos 1.3
bilion ringgit.

35. Dengan langkah-langkah ini, kapasiti Aliran Kelana Jaya akan meningkat lebih dua
kali ganda, daripada 160 ribu penumpang sehari pada masa ini kepada 350 ribu penumpang
sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280 ribu penumpang sehari berbanding
150 ribu penumpang pada masa ini.

36. Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Kelang,
satu laluan LRT baru sepanjang 42 km akan dibina dari Kota Damansara ke Cheras. Laluan
baru ini, dengan kapasiti melebihi 300 ribu penumpang sehari, apabila siap pada tahun 2014,
akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan
Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang.

37. Kerajaan telah mengambil alih aset dan operasi KL Monorail daripada operator
swasta pada akhir tahun 2007. Beberapa langkah meningkatkan kecekapan operasi dan
penyelenggaraan telah dilaksanakan. Berikutan langkah-langkah ini, kesemua 12 tren yang
ada telah berjaya beroperasi semula sepenuhnya. Semenjak pengambilalihan, jumlah
penumpang telah meningkat lebih sepuluh peratus daripada purata 51 ribu penumpang
sehari kepada lebih 57 ribu penumpang sehari pada masa ini. Pengambilalihan ini akan
menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Kelang lebih
berintegrasi.

38. Perkhidmatan rel komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad akan dipertingkatkan.
Langkah sedang dilaksanakan untuk membaik pulih 20 set Electric Multiple Unit (EMU) sedia
ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang
tahun 2011. Dengan ini, kapasiti KTM Komuter dijangka meningkat daripada 350 ribu
penumpang sehari pada masa ini kepada 500 ribu sehari. Bagi memperluaskan jaringan
perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 kilometer sedang dibina
dan dijangka siap menjelang 2010.

39. Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan
perkhidmatan KTM, iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik Seremban-Gemas, yang
dijangka siap pada tahun 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada tahun 2013.

40. Kerajaan juga sedang membina terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik
Selatan bertujuan menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada
kawasan selatan Semenanjung. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti
menampung lebih 130 teksi dan seratus bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial,
di samping mempunyai connectivity dengan rel Aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta
juga teksi dan bas bandar di Lembah Kelang. Terminal ini dijangka beroperasi pada tahun
2011.

41. Bagi menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada
kawasan utara Semenanjung, satu terminal pengangkutan bersepadu yang baru akan dibina.
Terminal ini akan dapat mengurangkan lagi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

42. Pengusaha-pengusaha pengangkutan awam berperanan penting memastikan
jaringan perkhidmatan yang lebih luas serta efisien, selamat dan bermutu tinggi, di kawasan
bandar dan luar bandar. Untuk membantu mengurangkan kos operasi pengusaha
pengangkutan awam, Kerajaan telah pun meningkatkan kuota subsidi diesel bagi
pengangkutan awam. Kerajaan akan turut mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengangkutan Awam
tiga bilion ringgit di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk
membiayai perolehan aset bas dan rel; dan
Kedua: mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di
pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu
Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008. Kerajaan akan
memberi pampasan kepada operator tol di atas kehilangan hasil berikutan
pengurangan ini yang dianggarkan 45 juta ringgit setahun.

43. Di samping itu, pengusaha semua bas diberi pengecualian cukai jualan ke atas
pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi Elaun Modal
Dipercepatkan. Selain itu, cukai jalan dikurangkan kepada 20 ringgit setahun bagi semua bas
dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

44. Untuk memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem
pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi,
mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini
dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun 2009.

Dasar Jaminan Makanan

45. Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai program pertanian bagi menjamin
bekalan makanan yang mencukupi. Sebanyak 5.6 bilion ringgit disediakan di bawah Dasar
Jaminan Makanan Negara bagi tempoh 2008 hingga 2010. Peruntukan ini antara lain adalah
untuk pembayaran insentif kepada pengusaha pertanian bertujuan meringankan beban
kenaikan kos pengeluaran dan bagi menggalakkan peningkatan pengeluaran hasil tani.
Seramai 350 ribu petani yang mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan, akuakultur dan
ternakan akan mendapat faedah daripada insentif ini.

46. Dalam usaha meningkatkan hasil tangkapan ikan, peruntukan tiga ratus juta ringgit
telah disediakan. Daripada jumlah ini, 180 juta ringgit untuk menampung sara hidup nelayan
dan pemilik bot perikanan serta 120 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan. Seramai
seratus ribu nelayan termasuk pemilik bot akan mendapat manfaat.

47. Di samping itu, untuk menggalakkan pengeluaran ayam dan itik, Kerajaan
mencadangkan penternak ayam dan itik diberi Elaun Pelaburan Semula sebanyak 60 peratus
bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan.

48. Kerajaan akan menyediakan insentif peningkatan pengeluaran hasil padi dengan
peruntukan satu bilion ringgit yang akan memberi manfaat kepada 220 ribu pesawah di
seluruh negara. Lebih 1,300 hektar tanah terbiar telah dikenal pasti bagi pengeluaran padi
dan makanan lain, seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan.

49. Selain itu, peruntukan 475 juta ringgit disediakan bagi bantuan input pertanian,
baja dan racun perosak bagi membantu golongan pesawah. Untuk meringankan beban
petani, Kerajaan mencadang memansuhkan duti import ke atas baja dan racun perosak.
Menjana Pendapatan Melalui Kredit Mikro

50. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan untuk membantu isi rumah miskin luar
bandar meningkatkan pendapatan melalui pembiayaan kredit mikro. Sejak ditubuhkan pada
tahun 1987, AIM telah mengeluarkan pinjaman kepada lebih 180 ribu isi rumah, dengan
jumlah pembiayaan 2.5 bilion ringgit. Atas hasrat untuk menangani kemiskinan bandar, skop
dan operasi AIM telah diperluaskan kepada golongan miskin bandar, bermula tahun ini.
Untuk ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan dana modal pusingan 100 juta ringgit
untuk membiayai program Kewangan Mikro Bandar. AIM telah mula beroperasi di Kuala
Lumpur bagi membantu golongan sasaran isi rumah berpendapatan dua ribu ringgit sebulan
dan ke bawah. Program ini akan diperluaskan ke bandar-bandar di seluruh negara mulai
awal 2009.

Meningkatkan Taraf Hidup Orang Asli

51. Peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian bagi
memastikan mereka sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi negara. Selaras dengan
matlamat tersebut, peruntukan 160 juta ringgit disediakan untuk mempergiatkan lagi usaha
menyediakan peluang pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas yang lebih baik kepada
masyarakat Orang Asli. Program utama yang akan dijalankan termasuk pembukaan pusat
transit Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Sungai Siput, Perak yang menyediakan kemudahan
penginapan dan perubatan. Di samping itu, pembangunan infrastruktur sosial masyarakat
Orang Asli akan diberi tumpuan, termasuk program bantuan rumah, penempatan tersusun,
menjana pendapatan dan latihan. Lebih 32 ribu Orang Asli dijangka mendapat manfaat
daripada program ini.

Membantu Golongan Kurang Bernasib Baik

52. Pada masa ini, bagi menggalakkan orang kurang upaya (OKU) bekerja, Kerajaan
menyediakan elaun bulanan tiga ratus ringgit kepada mereka. Menyedari ada di antara OKU
yang tidak berupaya bekerja, Kerajaan akan memberi elaun 150 ringgit sebulan kepada
mereka. Di samping itu, elaun murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah
daripada 50 ringgit kepada 150 ringgit, sementara bayaran insentif dua ratus ringgit sebulan
disediakan untuk pembantu guru di sekolah berkenaan.
Meningkatkan Program Perumahan

53. Dalam tempoh 2004 hingga 2008, lebih 100 ribu unit rumah kos rendah telah
dibina oleh pelbagai agensi Kerajaan di seluruh negara. Bagi tahun 2009, peruntukan 330
juta ringgit disediakan kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menyiapkan hampir 4,400
unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa, 1,500 unit PPR Bersepadu dan 600 unit
PPR Dimiliki. Di samping itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad akan membina 33 ribu
rumah kos rendah.

Melonggarkan Syarat Pinjaman Perumahan Kerajaan

54. Untuk membolehkan anggota perkhidmatan awam memiliki rumah, Kerajaan
bersetuju untuk menambah baik syarat pinjaman perumahan anggota perkhidmatan awam.
Ke arah ini, Kerajaan akan:

Pertama: melanjutkan tempoh pinjaman perumahan daripada 25 tahun kepada 30 tahun
bagi pinjaman baru;
Kedua: memberi kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubah suai ke atas rumah
yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan Kerajaan; dan
Ketiga: membuka panel insurans pinjaman perumahan Kerajaan kepada semua
syarikat insurans yang layak. Pada masa ini, panel insurans adalah terhad
kepada lima syarikat.

Mengurangkan Kos Memiliki Rumah

55. Pada masa ini, pembeli rumah kos rendah diberi pengecualian duti setem
sepenuhnya ke atas semua surat cara, termasuk surat cara perjanjian pinjaman. Manakala,
pembeli rumah kos sederhana pada harga sehingga 250 ribu ringgit hanya diberi
pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sahaja. Bagi
mengurangkan kos membeli rumah kos sederhana, Kerajaan mencadangkan pengecualian
duti setem 50 peratus diberikan juga ke atas surat cara perjanjian pinjaman kepada pembeli
rumah kos sederhana.

Memperluaskan Skim Jaminan Kredit Perumahan

56. Dalam Bajet 2008, saya telah mengumumkan Skim Jaminan Kredit Perumahan
(SJKP) bagi membantu golongan tidak berpendapatan tetap untuk memiliki rumah mampu
milik. Melalui Skim ini, peminjam boleh mendapatkan pinjaman perumahan daripada Bank
Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk membeli rumah kos rendah dan
sederhana rendah. Peruntukan dana 50 juta ringgit telah disediakan untuk menjayakan Skim
ini. Sehingga kini, hampir 500 permohonan bernilai 20 juta ringgit telah diluluskan. Mulai Julai
2008, Kerajaan telah memperluaskan Skim ini kepada semua institusi kewangan tempatan.
Di samping itu, dana Skim ini juga akan ditambah kepada seratus juta ringgit. Dengan
tambahan ini, SJKP akan berupaya menjamin pinjaman bernilai dua bilion ringgit yang akan
dapat memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada 40 ribu peminjam.

Menggalakkan Tanggungjawab Sosial Korporat

57. Dalam Bajet 2008, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Program Amal
Jariah dengan menyediakan dana 50 juta ringgit bagi membaik pulih rumah usang rakyat
miskin tegar di seluruh negara. Sehingga kini, 4,600 buah rumah telah dibaik pulih dengan
anggaran kos 24 juta ringgit. Bagi tahun 2008, bilangan rumah yang akan dibaik pulih
dijangka sebanyak 8,400 buah.

58. Untuk meneruskan program ini, Kerajaan menyeru syarikat swasta untuk
menyumbang kepada dana ini sebagai menyokong aktiviti tanggungjawab sosial korporat
(CSR), supaya lebih ramai rakyat miskin mendapat manfaat daripada Program ini. Untuk ini,
Kerajaan akan menyediakan geran sepadan satu ringgit bagi setiap satu ringgit yang
dibelanjakan oleh sektor swasta untuk program ini. Sebagai permulaan, seratus juta ringgit
disediakan untuk tujuan ini. Dianggarkan 30 ribu rumah usang akan dapat dibaik pulih
melalui kaedah ini.

59. Pada masa ini, potongan cukai diberi kepada sumbangan syarikat bagi projek
komuniti dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, infrastruktur serta teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT). Bagi memantapkan lagi budaya tanggungjawab sosial
korporat, Kerajaan mencadangkan skop projek komuniti yang layak mendapat potongan
cukai diperluaskan kepada projek berkaitan peningkatan pendapatan golongan miskin serta
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Di samping itu, bagi syarikat yang memberi
sumbangan kepada badan amal, Kerajaan mencadangkan had potongan cukai ditingkatkan
daripada tujuh peratus kepada sepuluh peratus daripada pendapatan.

60. Malaysia merupakan antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia. Bagi
meningkatkan penerimaan minyak kelapa sawit di peringkat global, kemantapan
tanggungjawab sosial dan alam sekitar dalam amalan perniagaan perlu dibuktikan.
Sehubungan itu, Kerajaan menyokong sepenuhnya inisiatif perladangan kelapa sawit untuk
memperoleh pensijilan Roundtable for Sustainable Palm Oil (RSPO). Bagi membantu usaha
ke arah pengeluaran minyak kelapa sawit yang lebih mapan, Kerajaan akan
memperuntukkan 50 juta ringgit untuk menubuhkan Dana RSPO. Dana ini akan
menyediakan geran untuk menyokong program komuniti seperti menambah baik sekolah di
kawasan ladang dan program pemuliharaan seperti meningkatkan biodiversiti di kawasan
ladang.

Memantapkan Perkhidmatan Kesihatan

61. Perkhidmatan kesihatan secara percuma akan terus disediakan kepada rakyat.
Peruntukan 13.7 bilion ringgit disediakan pada tahun 2009 untuk tujuan meningkatkan
kemudahan dan peralatan kesihatan, menambah bekalan ubat, membangunkan sumber
manusia, menggiatkan aktiviti penyelidikan dan meningkatkan penguatkuasaan, di samping
pembinaan hospital, klinik dan kuarters.

62. Selaras dengan langkah Kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan
membendung gejala sosial akibat merokok, terutamanya di kalangan remaja dan pelajar,
adalah dicadangkan duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak tiga sen sebatang
daripada 15 sen sebatang kepada 18 sen sebatang. Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok
20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen.

63. Untuk mengekalkan perkhidmatan pakar perubatan sektor awam, kadar bayaran
insentif pakar perubatan akan dinaikkan, yang melibatkan 3,800 orang pegawai dengan
perbelanjaan tambahan 26 juta ringgit.

64. Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan kadar bayaran insentif pasukan
perubatan udara di Sabah dan Sarawak. Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan
daripada 20 ringgit kepada 30 ringgit satu penerbangan pergi balik dan bagi jururawat
daripada 15 ringgit kepada 30 ringgit satu penerbangan pergi balik.

Menambah Kemudahan Awam

65. Kemudahan prasarana dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup
masyarakat desa dan luar bandar. Bajet 2009 menyediakan peruntukan 1.8 bilion ringgit
untuk menambah kemudahan asas dan infrastruktur di luar bandar. Daripada jumlah ini, lebih
satu bilion ringgit akan disalurkan untuk melaksanakan projek jalan luar bandar sepanjang
480 kilometer dan jalan kampung sepanjang 1,300 kilometer. Sebanyak 280 juta ringgit
disediakan bagi bekalan air luar bandar dengan sasaran 30 ribu buah rumah, 350 juta ringgit
untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran 3,600 buah rumah, dan 65 juta ringgit
disediakan untuk melaksanakan 11,700 buah projek kemudahan awam di luar bandar.

66. Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk membangunkan Sabah dan Sarawak.
Bagi negeri Sabah, peruntukan hampir tiga bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan
projek infrastruktur, termasuk 266 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang
akan memanfaatkan lebih 550 ribu penduduk setempat. Antara projek utama, termasuk
membina jalan dari Jeroco-Lahad Datu Fasa Dua, menaik taraf dan membaiki Jalan
Sandakan ke Telupid, menaik taraf Jalan Ranau ke Tambunan Fasa Dua, membina
Jambatan Semporna–Pulau Bum-Bum, mengganti jambatan usang di kawasan pendalaman
Sabah, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan, kemudahan hospital dan
kesihatan luar bandar serta Program Perumahan Rakyat Disewa.

67. Bagi negeri Sarawak, peruntukan 3.3 bilion ringgit disediakan untuk pelbagai
projek, termasuk pembinaan 230 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang
akan memanfaatkan lebih 350 ribu penduduk setempat. Antara projek utama yang akan
dilaksanakan adalah pembinaan Jalan Penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru
Sarawak, Jalan Nanga Buai ke Ulu Sepak, Betong, Jalan Awat-Awat ke Kuala Lawas, Jalan
Tanjong Assam ke Saribas, Empangan Bengoh Kuching, Sistem Pengurusan Air Sisa secara
bersepadu di Bandaraya Kuching, Program Perumahan Rakyat Disewa, projek kemudahan
pelancongan dan ekopelancongan serta kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar.

STRATEGI KEDUA: MEMBANGUNKAN MODAL INSAN BERKUALITI

Tuan Yang di-Pertua,

68. Program ke arah membangunkan modal insan berkualiti lagi seimbang dari segi
jasmani, rohani dan intelek akan terus dilaksanakan. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk
melahirkan tenaga kerja terlatih lagi berdaya saing, baik di dalam negara mahupun di
peringkat antarabangsa. Sejumlah 47.7 bilion ringgit, yang merupakan 23 peratus daripada
Bajet 2009, diperuntukkan untuk pendidikan dan latihan.

Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran

69. Sejumlah 2.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi mempertingkatkan kemudahan serta
menjalankan program latihan dan kemahiran. Daripada jumlah tersebut, 150 juta ringgit
diperuntukkan bagi menaik taraf 13 buah politeknik sedia ada dan 15 buah kolej komuniti
serta cawangan kolej komuniti. Jumlah enrolmen dijangka mencecah 120 ribu pelajar
berbanding 112 ribu pada masa ini.

70. Sejumlah dua ratus juta ringgit diperuntukkan kepada Institut Latihan Perindustrian
(ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) sedia ada serta bagi membina sebuah
ILP di Marang dan sebuah ADTEC di Taiping. Sejumlah 360 juta ringgit disediakan bagi
membiayai projek Institut Kemahiran MARA dan Institut Kemahiran Tinggi MARA, projek
Kolej Pelajaran Mara dan projek Giat MARA. Bagi membantu pelatih Giat MARA, elaun
bulanan akan dinaikkan daripada seratus ringgit kepada dua ratus ringgit.

71. Dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan, Kerajaan akan
menambah bilangan jururawat di hospital Kerajaan. Peruntukan 70 juta ringgit disediakan
pada tahun 2009 untuk melatih 5,600 jururawat di Institusi Latihan Kejururawatan
Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk dua ribu pelatih di institusi latihan swasta yang
diiktiraf. Selain itu, untuk menampung kekurangan jururawat, graduan dalam bidang sains
yang berkaitan juga akan diberi peluang kerjaya untuk mengikuti latihan diploma
kejururawatan selama satu setengah tahun, berbanding dengan biasanya tiga tahun. Di
samping itu, untuk menambah baik kemahiran dan kualiti perkhidmatan jururawat, semua
jawatan penolong jururawat akan dinaikkan taraf kepada jawatan jururawat masyarakat,
selepas mengikuti kursus kejururawatan selama enam bulan.

72. Untuk menyokong pembangunan pusat pelancongan kesihatan di Wilayah
Ekonomi Koridor Utara, Kerajaan akan menyediakan geran pelancaran 30 juta ringgit untuk
mewujudkan pusat latihan jururawat tidak bermotifkan keuntungan. Ini bertujuan
mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran jururawat dan perkhidmatan berkaitan untuk
menampung permintaan pasaran yang semakin tinggi untuk jururawat berkepakaran khusus.

73. Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) seharusnya
mengambil langkah untuk melatih lebih ramai pekerja dalam bidang pembinaan. Untuk tujuan
ini, saya telah mengarahkan CIDB untuk menyediakan sekurang-kurangnya 100 ribu peluang
latihan industri pembinaan dalam bidang teknikal, termasuk pengimpalan, pengurusan dan
keselamatan pada tahun 2009. Di samping itu, semua pekerja binaan digalakkan mendapat
pengiktirafan kemahiran melalui kaedah akreditasi dan latihan kemahiran yang dikendalikan
oleh CIDB. Kos akreditasi dan latihan kemahiran bagi pekerja tempatan akan ditanggung
oleh CIDB.

Meningkatkan Kualiti Pendidikan

74. Kementerian Pelajaran Malaysia diperuntukkan 31 bilion ringgit, untuk
menyediakan pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Sejumlah 1.6 bilion ringgit disediakan
bagi membiayai perluasan program sedia ada, iaitu pertambahan perjawatan berikutan
pembukaan 26 buah sekolah rendah dan 41 buah sekolah menengah yang baru dan
pertambahan perbelanjaan untuk penyelenggaraan, bantuan makanan, biasiswa, geran per
kapita dan peralatan baru.

75. Sejumlah 110 buah sekolah rendah dan 181 buah sekolah menengah baru akan
dibina bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah dan menggantikan sekolah-sekolah
yang telah usang. Di samping itu, 615 juta ringgit disediakan untuk penyelenggaraan sekolah
dan asrama bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih dan selamat.
Peruntukan penyelenggaraan ini tidak boleh dipindahkan bagi tujuan lain.

76. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan
14.1 bilion ringgit disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini,
lapan bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi
awam, 627 juta ringgit kepada Politeknik dan Kolej Komuniti serta 37 juta ringgit kepada
Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak 4.4 bilion ringgit diperuntukkan untuk perbelanjaan
pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti perubatan
serta menyediakan latihan penyelidikan.

Memperluaskan Program PINTAR

77. Kerajaan mengalu-alukan sumbangan sektor swasta untuk membantu
meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam hubungan ini, program PINTAR yang melibatkan
pengambilan sekolah angkat oleh syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) telah dilancarkan pada
tahun 2006. Program ini merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah program
transformasi GLC yang telah berjaya melibatkan 23 syarikat GLC dan anak syarikatnya serta
memberi manfaat kepada 152 buah sekolah di seluruh negara, termasuk Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Antara pencapaian PINTAR termasuklah peningkatan
dalam kadar kelulusan purata murid sekolah serta penambahan bilangan pelajar yang
mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

78. Program PINTAR akan diperluaskan kepada penyertaan syarikat swasta bukan
GLC dengan sasaran 480 buah sekolah di seluruh negara menjelang tahun 2012.
Keutamaan akan diberi kepada sekolah di Sabah dan Sarawak. Untuk melaksanakan
program PINTAR secara bersepadu dan lebih meluas, Kerajaan akan menubuhkan Yayasan
PINTAR dengan peruntukan 20 juta ringgit sebagai geran pelancaran.

Memupuk Budaya Kecemerlangan

79. Untuk meningkatkan lagi daya tahan dan daya saing negara, adalah penting kita
memupuk budaya kecemerlangan dan berprestasi tinggi di semua lapisan tenaga kerja di
sektor awam dan swasta. Ke arah ini, pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama telah dimulakan
di dalam sektor perkhidmatan awam dan juga di bawah Program Transformasi GLC, dengan
memberi keutamaan kepada sistem ganjaran berasaskan prestasi bagi semua tenaga kerja.

80. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan
pengetahuan, adalah penting untuk memastikan lebih ramai tenaga pekerja mahir
berkhidmat di negara ini dan untuk membendung brain drain rakyat Malaysia. Sebagai salah
satu langkah untuk menjadikan kadar cukai individu kompetitif dan menarik kepada golongan
ini, Kerajaan mencadangkan supaya kadar cukai individu maksimum diturunkan dari 28
peratus kepada 27 peratus, mulai tahun taksiran 2009. Di samping itu, kadar cukai marginal
sebanyak 13 peratus akan dikurangkan kepada 12 peratus, yang akan memanfaatkan
golongan berpendapatan sederhana. Pengurangan ini dan peningkatan dalam pemberian
rebat yang saya umumkan tadi akan memanfaatkan semua pembayar cukai.

81. Kerajaan mengalu-alukan inisiatif pihak majikan swasta mengiktiraf sumbangan
pekerja yang cemerlang dan berprestasi tinggi. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan supaya
pengecualian cukai ke atas anugerah perkhidmatan cemerlang diperluaskan kepada semua
anugerah berkaitan dengan inovasi dan produktiviti.

82. Memandangkan modal insan merupakan penyumbang utama dalam meningkatkan
daya saing syarikat, majikan seharusnya berusaha mendapatkan tenaga kerja terbaik. Oleh
itu, Kerajaan mencadangkan bayaran kepada agensi pekerjaan dan penyertaan dalam ekspo
kerjaya, dibenarkan sebagai potongan cukai.

STRATEGI KETIGA: MEMPERKUKUHKAN DAYA TAHAN NEGARA

83. Sungguhpun ekonomi global dijangka berkembang sederhana, pertumbuhan di
rantau ini kekal kukuh, terutamanya di China dan India. Daya tahan di rantau ini memberi
peluang untuk pertumbuhan beberapa sektor dalam ekonomi negara, seperti berikut:.

Pertama: perkhidmatan serantau seperti kewangan Islam, proses perniagaan
penyumberan luar, pelancongan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan
berkaitan penerbangan;
Kedua: industri berasaskan sumber, terutamanya petroleum dan minyak kelapa sawit;
dan
Ketiga: industri pembuatan nilai ditambah tinggi, seperti elektronik dan bioteknologi.

84. Malaysia telah membuktikan daya saing dalam sektor-sektor ini berasaskan
keupayaan modal insannya. Kecemerlangan golongan profesional kita diiktiraf di peringkat
antarabangsa sehingga ramai antara mereka kini bekerja di serata dunia. Kecemerlangan
golongan profesional kita harus digilap lagi. Untuk ini, kita perlu melatih lebih ramai golongan
profesional dan meningkatkan kemahiran mereka. Sehubungan itu, Kerajaan telah pun
memberi potongan cukai dua kali bagi latihan terpilih yang dianjurkan oleh INCEIF di dalam
Kewangan Islam. Kerajaan mencadangkan untuk memperluaskan potongan cukai dua kali
kepada majikan yang menaja pekerja mereka mengikuti pengajian lepasan ijazah dalam
bidang seperti ICT, elektronik dan sains hayat. Pengecualian cukai pegangan juga akan
diberikan kepada pakar bukan pemastautin yang menyediakan perkhidmatan latihan teknikal
dalam bidang tersebut.

Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta

85. Kerajaan akan terus menggalakkan aktiviti sektor swasta dengan menyediakan
persekitaran yang kondusif. Ini termasuk usaha memastikan pelabur asing terus memilih
Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Pada tahun 2007, kemasukan pelaburan langsung
asing ialah 5.2 peratus daripada KDNK berbanding dua peratus bagi negara China dan 1.3
peratus bagi negara India. Malaysia masih mampu menarik pelaburan asing ke dalam
pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor minyak dan gas serta pembuatan. Untuk
menggalakkan lagi sektor swasta melabur, Kerajaan mencadangkan group relief ditambah
baik dengan membenarkan kadar kerugian yang boleh ditolak ditingkatkan daripada 50
peratus kepada 70 peratus.

86. Penggunaan ICT dalam perniagaan merupakan satu keperluan asas untuk kekal
berdaya saing. Walau bagaimanapun, penggunaan ICT memerlukan perbelanjaan yang agak
besar oleh syarikat, terutamanya PKS, untuk mengganti dan menaik taraf peralatan ICT.
Oleh itu, bagi menggalakkan sektor swasta melabur dalam peralatan ICT yang terkini,
Kerajaan mencadangkan perbelanjaan ke atas peralatan ICT yang kini diberikan Elaun
Modal Dipercepatkan yang layak dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun
dipercepatkan kepada satu tahun.

87. Untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik di
rantau ini, terutamanya di kalangan syarikat multinasional, rangka percukaian harus telus dan
mesra perniagaan. Untuk memberi lebih kepastian mengenai transfer pricing, Kerajaan akan
mewujudkan mekanisme Penentuan Harga Awal. Mekanisme ini telah banyak diamalkan
oleh negara-negara maju dan didapati telah berjaya menangani isu transfer pricing dengan
lebih cekap dan berkesan.

88. Peningkatan kecekapan operasi pelabuhan adalah penting bagi menyokong
pertumbuhan perdagangan antarabangsa negara. Untuk ini, Kerajaan mencadang
memansuhkan larangan import bagi kren di pelabuhan, manakala kadar duti import
dikurangkan daripada 20 peratus kepada lima peratus.

Mempergiatkan Pembangunan Koridor Pertumbuhan

89. Kerajaan komited kepada inisiatif koridor pertumbuhan wilayah ke arah
pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk
membuka lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan keusahawanan agar pendapatan
rakyat dapat ditingkatkan secara mapan. Setakat ini, kelima-lima koridor pembangunan telah
dilancarkan dan inisiatif sepertimana yang telah direncanakan di dalam Pelan Induk
Pembangunan masing-masing telah mula dilaksanakan. Koridor tersebut adalah Iskandar
Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Koridor Pantai Timur, Koridor
Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharu Sarawak. Di dalam Kajian Separuh
Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, siling tambahan sepuluh bilion ringgit telah
diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan koridor-koridor tersebut. Sebanyak enam
bilion ringgit diperuntukkan dalam Bajet 2009.

90. Untuk mengukuhkan pelaburan swasta di Iskandar Malaysia, peruntukan
tambahan 300 juta ringgit di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan bagi melaksanakan
projek perkongsian sektor awam dan swasta, seperti pengangkutan awam, perkhidmatan
kesihatan, pendidikan dan industri kreatif. Perkongsian ini merupakan satu kaedah di mana
sektor swasta menanggung sepenuhnya risiko projek, sementara Kerajaan memberi bantuan
untuk memastikan projek ini berdaya maju. Sebagai contoh, di dalam bidang kesihatan,
sektor swasta membina hospital manakala Kerajaan membantu pengusaha tersebut dengan
menaja pesakit yang layak dibiayai oleh Kerajaan ke hospital tersebut.

91. Bagi memenuhi permintaan yang akan wujud dari pertumbuhan perniagaan,
Iskandar Malaysia akan membangunkan sistem pengangkutan awam bersepadu. Sebagai
permulaan, usaha ini akan ditumpukan kepada menambah baik perkhidmatan bas melalui
kerjasama dengan pengusaha bas sedia ada. Di bidang perkhidmatan kesihatan, pusat
kecemerlangan pengajian dan penyelidikan pasca ijazah akan ditubuhkan dengan kerjasama
hospital swasta. Iskandar Malaysia akan menubuhkan sekolah tidak bermotifkan keuntungan
secara perintis. Pengambilan pelajar sekolah ini akan terdiri daripada pelajar tajaan Kerajaan
dan persendirian. Selain itu, dana akan disediakan untuk membangunkan kluster industri
kreatif di Iskandar Malaysia ke arah mengukuhkan bakat kreatif tempatan.

92. Antara program yang sedang dilaksanakan di Koridor Pantai Timur adalah projek
Agropolitan di selatan Kelantan, Besut-Setiu dan Pekan, termasuk membangunkan produk
kenaf. Bagi membolehkan penduduk tempatan mendapat manfaat daripada sumber
petroleum di Terengganu, industri hiliran, seperti Kluster Industri Plastik Kertih akan
dimajukan. Begitu juga, Koridor Sarawak akan memberi tumpuan kepada pembangunan
tenaga hidro dan arang batu, industri hiliran petroleum dan gas serta pertanian berskala
besar.

93. Untuk mencapai sepenuhnya potensi sektor pertanian di dalam Koridor Utara,
beberapa projek sedang dilaksanakan, termasuk projek ternakan lembu daging
menggunakan sistem fidlot di Tobiar, Laka Temin dan Chuping serta program
membangunkan tiga ribu hektar kawasan sawah. Di Koridor Sabah, projek kelompok industri
berasaskan kelapa sawit di Lahad Datu dan pusat bersepadu ternakan Keningau sedang
dilaksanakan.

Mempromosikan Pelancongan

94. Dalam konteks pembangunan koridor di Sabah dan Sarawak, Kerajaan
mencadangkan pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di
Sabah dan Sarawak diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan
100 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

95. Pada Julai 2008, UNESCO telah mengisytiharkan Melaka dan Georgetown
sebagai Tapak Warisan Dunia kerana gaya hidup, sejarah, seni bina dan kepelbagaian
budayanya. Ini adalah satu pengiktirafan daripada masyarakat sedunia di atas kekayaan dan
kepelbagaian warisan budaya kita. Untuk menyokong inisiatif pemuliharaan tapak warisan
tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk kerja pemuliharaan di
Pulau Pinang dan Melaka. Aktiviti ini akan dikendalikan oleh badan bukan Kerajaan dan
sektor swasta.

Galakan Untuk Syarikat Modal Teroka

96. Terdapat banyak projek sektor swasta yang berinovatif dan berpotensi tinggi yang
boleh dilaksanakan tetapi menghadapi masalah mendapatkan sumber pembiayaan berikutan
risiko yang tinggi. Sumber pembiayaan konvensional, seperti pinjaman bank dan sekuriti
hutang swasta, mungkin tidak begitu sesuai membiayai projek ini. Bagi menggalakkan lebih
banyak pelaburan oleh dana modal teroka dan ekuiti swasta, Kerajaan mencadangkan
supaya syarikat modal teroka yang melaburkan dana sekurang-kurangnya 30 peratus dalam
bentuk start up, early stage financing atau seed capital diberi pengecualian cukai selama lima
tahun.

Memajukan Sektor Maritim

97. Sebagai sebuah negara perdagangan, perkembangan industri perkapalan
tempatan terus digalakkan bertujuan memastikan lebih banyak syarikat kapal tempatan
terlibat dalam pengangkutan barangan perdagangan negara. Dua dana berjumlah 2.3 bilion
ringgit telah ditubuhkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, iaitu Malaysian
Shipping Finance Fund dan New Shipping Finance Facility bagi tujuan membiayai pembelian
kapal. Dana-dana ini telah berjaya digunakan sepenuhnya di mana 68 buah syarikat
perkapalan dan lapan limbungan kapal mendapat pembiayaan. Oleh itu, satu dana baru
berjumlah dua bilion ringgit akan disediakan untuk membiayai pembelian kapal dan juga
menaik taraf limbungan kapal.

Mempergiatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana

98. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berperanan penting dalam pertumbuhan
ekonomi. Untuk meningkatkan lagi peranan PKS, Kerajaan telah mengumumkan dua dana
baru berjumlah 1.2 bilion ringgit yang dibiayai oleh Bank Negara Malaysia. Dana ini bertujuan
untuk membantu PKS memodenkan operasi mereka, terutamanya bagi pembelian atau
penambahbaikan mesin dan peralatan serta mengurangkan kesan kenaikan kos. Bagi terus
memantapkan lagi sokongan kepada PKS, Kerajaan mencadangkan semua aset dalam
bentuk loji dan mesin yang diperoleh dalam tahun taksiran 2009 dan 2010 diberikan Elaun
Modal Dipercepatkan yang layak dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun. Di samping
itu, PKS juga dibenarkan menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tempoh satu tahun ke
atas semua aset bernilai kecil mereka.

Pelan Tenaga Negara

99. Kejayaan industri petroleum negara telah memberi sumbangan besar kepada
pembangunan sosioekonomi negara. PETRONAS telah memberi sumbangan kewangan
yang besar kepada Kerajaan dalam bentuk royalti, cukai, duti dan dividen. Semua
sumbangan ini telah membolehkan Kerajaan membangunkan infrastruktur dan menyediakan
kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik.

100. Walaupun industri petroleum negara telah mencapai kejayaan yang
membanggakan, kita tidak seharusnya lupa bahawa sumber minyak dan gas negara adalah
kecil, semakin berkurangan dan terhad. Walaupun usaha mencari sumber rizab baru sedang
diteruskan dan telah menemui kejayaan yang amat baik, kita mesti menerima hakikat
bahawa sumber ini bakal habis dan apabila berlaku, ia akan mendatangkan kesan yang
besar ke atas ekonomi negara.

101. Kita mesti mencari penyelesaian baru untuk memastikan keperluan bekalan tenaga
jangka panjang negara tetap terjamin. Oleh yang demikian, kita perlu melipatgandakan
usaha mempertingkatkan keberkesanan penggunaan tenaga untuk memastikan penggunaan
yang lebih produktif dan berhemah. Dalam usaha yang sama, kita perlu meningkatkan usaha
menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif seperti solar, angin dan biofuels, di
samping menerokai sumber tenaga nuklear. Kerajaan kini merangka Pelan Tenaga Negara
yang komprehensif untuk menangani cabaran-cabaran ini bagi memastikan bekalan tenaga
negara yang mapan dan mampu diri (self sufficient, dengan izin).

102. Bagi menangani harga bahan api fosil yang tidak menentu, beberapa langkah telah
diambil untuk mempelbagaikan sumber tenaga dan menjimatkan penggunaan tenaga. Pada
masa ini, pelbagai galakan telah disediakan bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh
diperbaharui dan penjimatan tenaga. Ke arah ini, Kerajaan mencadangkan pengecualian
cukai, seperti berikut:

Pertama: duti import dan cukai jualan ke atas peralatan sistem solar photovoltaic;
Kedua: duti import dan cukai jualan ke atas barangan perantaraan, seperti High
Efficiency Motors dan insulation materials;
Ketiga: cukai jualan ke atas peralatan sistem pemanasan solar keluaran tempatan;
Keempat: cukai jualan ke atas barangan pengguna keluaran tempatan yang menjimatkan
tenaga, seperti peti sejuk, alat penyaman udara, lampu, kipas angin dan
televisyen; dan
Kelima: duti import 100 peratus dan duti eksais 50 peratus kepada pemegang francais
yang mengimport kereta hibrid CBU baru yang berkapasiti enjin di bawah 2,000 cc. Pengecualian ini adalah bagi tempoh dua tahun sebagai persediaan untuk
mereka memasangnya dalam negara.

Merancakkan Pasaran Modal

103. Pasaran modal negara telah mencapai pertumbuhan yang membanggakan, dan
kini, merupakan antara pasaran modal terbesar di rantau ini. Kemajuan yang telah dicapai
bukan sahaja dari segi meningkatkan lagi saiz pasaran, tetapi juga dari segi usaha untuk
membangunkan produk baru dan berinovatif untuk memenuhi keperluan dan pilihan pelabur
tempatan dan luar negara.

104. Untuk mengukuhkan lagi pasaran modal negara dan memudahkan syarikat
perantara domestik, seperti penasihat korporat utama, mengembangkan perniagaan
antarabangsa mereka, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai ke atas pendapatan fi
yang diterima oleh syarikat perantara domestik yang berjaya menarik penyenaraian syarikat
dan produk pelaburan asing di Bursa Malaysia. Langkah ini juga akan membolehkan pelabur
tempatan memperoleh saham syarikat asing yang disenaraikan di bursa tempatan.

105. Untuk meningkatkan kedudukan negara sebagai satu hab pasaran modal Islam,
Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberi selama tiga tahun bagi pendapatan fi dan
keuntungan yang diterima oleh institusi yang menjalankan urus niaga sukuk bukan ringgit
yang diterbitkan di Malaysia dan diagihkan di luar Malaysia.

106. Selain itu, untuk menggalakkan usaha mempelbagaikan lagi produk dan menarik
lebih ramai pelabur asing ke pasaran modal negara, kadar cukai ke atas dividen daripada
Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang diterima oleh pelabur institusi asing yang kini
dikenakan cukai pada kadar 20 peratus dikurangkan kepada sepuluh peratus. Menyedari
bahawa REIT merupakan produk pelaburan yang menarik bagi individu, Kerajaan
mencadangkan pengurangan cukai daripada 15 peratus kepada sepuluh peratus.

Menjamin Keselamatan Awam

107. Negara yang aman dan harmoni membolehkan rakyat hidup dalam suasana
selamat, membolehkan urusan harian berjalan lancar serta meningkatkan keyakinan peniaga
dan pelabur. Ketenteraman awam dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Bajet
2009 menyediakan peruntukan 5.4 bilion ringgit bagi meningkatkan keupayaan Polis DiRaja
Malaysia (PDRM). Daripada jumlah ini, 4.8 bilion ringgit bagi Belanja Mengurus dan 600 juta
ringgit bagi Belanja Pembangunan.

108. Sebanyak 162 buah balai polis dan pondok polis telah diwujudkan dalam tahun
2008 di kawasan yang mencatatkan kejadian jenayah yang tinggi, iaitu di Selangor, Johor,
Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan warga dan
negara, 220 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2009 bagi pembinaan ibu pejabat, balai
dan pondok polis di seluruh negara.

109. Dalam tempoh 2008 hingga 2010, seramai 22,800 konstabel dan tiga ribu
inspektor akan dilantik. Di samping itu, elaun bayaran insentif khas anggota PDRM
ditingkatkan daripada seratus kepada dua ratus ringgit sebulan, mulai 1 Januari 2009.

110. Kerajaan telah pun memberi galakan cukai ke atas pemasangan alat kawalan
keselamatan di premis kilang dan alat pengesan kenderaan bagi meningkatkan keselamatan
barangan. Kerajaan mencadangkan supaya semua premis perniagaan yang memasang alat
kawalan keselamatan diberi Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya
dalam tempoh satu tahun.

Menghargai Perkhidmatan Awam

111. Kerajaan menghargai peningkatan produktiviti dan sumbangan kakitangan sektor
awam kepada pembangunan negara. Kerajaan bersetuju untuk memberi bonus bersamaan
sebulan gaji dengan minimum seribu ringgit bagi tahun 2008. Bonus ini akan diberi dalam
dua bayaran, iaitu pada bulan September dan Disember, 2008.

PERUNTUKAN BAJET 2009

112. Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan bertambah kukuh semenjak tujuh tahun
yang lalu, dengan defisit keseluruhan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada
KDNK pada tahun 2000 kepada 3.2 peratus pada tahun 2007. Kejayaan mengurangkan
defisit ini telah memberi lebih fleksibiliti kepada dasar fiskal Kerajaan, terutamanya ketika
negara menghadapi cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu serta
peningkatan harga barangan.

113. Pengurangan tahap defisit sejak tujuh tahun lalu telah memberi ruang kepada
Kerajaan untuk melaksanakan langkah tambahan bagi mengurangkan impak peningkatan
harga ke atas rakyat. Langkah ini telah melibatkan perbelanjaan tambahan 22.1 bilion ringgit
pada tahun ini, termasuk 17 bilion ringgit bagi subsidi minyak dan 3.6 bilion ringgit bagi
subsidi makanan. Selain daripada ini, beberapa sektor utama telah diberi tambahan
peruntukan sejumlah 1.5 bilion ringgit, terutamanya pendidikan, kesihatan, kebajikan dan
keselamatan dalam negeri.

114. Setelah mengambil kira hasil sebanyak 161.6 bilion ringgit dan perbelanjaan
Kerajaan Persekutuan sebanyak 196.9 bilion ringgit, defisit fiskal dianggar meningkat kepada
4.8 peratus pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya defisit fiskal yang
tinggi ini merupakan keperluan one-off dan Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit
fiskal kepada 3.6 peratus pada tahun 2009.

115. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan,
sejumlah 207.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2009, iaitu 5.1 peratus lebih tinggi
berbanding peruntukan dipinda tahun 2008. Daripada jumlah ini, 154.2 bilion ringgit adalah
bagi Peruntukan Mengurus, manakala 53.7 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan
Pembangunan.

116. Di bawah Peruntukan Mengurus, 86.3 bilion ringgit atau 56.6 peratus adalah bagi
Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 38 bilion ringgit untuk Emolumen, 26.5 bilion ringgit
bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.4 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan satu bilion
ringgit untuk perbelanjaan lain.

117. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar 27.8 bilion ringgit ialah untuk
sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur.
Sejumlah 17.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan
dan perumahan. Sektor keselamatan menerima 4.1 bilion ringgit dan pentadbiran 2.1 bilion
ringgit, manakala bakinya dua bilion ringgit adalah untuk simpanan luar jangka.

PROSPEK EKONOMI TAHUN 2009

118. Pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2009 dijangka berkembang pada kadar 5.4
peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan dalam negeri, dengan penggunaan dan
pelaburan swasta meningkat sebanyak 6.5 peratus dan 5.8 peratus. Pertumbuhan juga
dijangka lebih menyeluruh dengan sumbangan positif dari semua sektor ekonomi. Sumber
pertumbuhan ekonomi dijangka masih diterajui oleh sektor perkhidmatan yang dijangka
berkembang pada kadar 6.9 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh kerancakan industri
pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan serta industri berkaitan teknologi
maklumat dan komunikasi. Perdagangan luar negara akan terus mantap dengan eksport
berkembang 4.6 peratus.

119. Pendapatan per kapita diunjurkan meningkat 8.1 peratus kepada 27,900 ringgit
dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan 17,600 dolar Amerika. Kadar inflasi dijangka lebih
sederhana, berikutan pelaksanaan pelbagai langkah Kerajaan untuk membendung kenaikan
harga.

PENUTUP

Tuan Yang Di Pertua,

120. Pembentangan Bajet 2009 membuktikan sekali lagi bahawa Kerajaan Barisan
Nasional sentiasa mendengar rintihan rakyat dan bertindak untuk meringankan beban setiap
lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Pendekatan yang diambil
menjurus kepada bantuan dan sokongan yang bukan sahaja memperbaiki kualiti hidup tetapi
juga memperkasakan seluruh rakyat untuk meningkatkan produktiviti. Bajet ini juga selaras
dengan perancangan jangka masa sederhana yang termaktub dalam Misi Nasional dan
Rancangan Malaysia Kesembilan untuk terus membangunkan negara ke arah Wawasan
2020.

121. Kerajaan Barisan Nasional akan terus mentadbir ekonomi negara dengan penuh
beramanah tanpa membuat janji-janji populis seperti yang dicanangkan oleh Pembangkang
yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan Kerajaan dan mewariskan negara yang
muflis pada generasi muda.

122. Sesungguhnya, kestabilan politik negara wajib dipelihara secara bersama. Badanbadan
politik, badan bukan Kerajaan, sektor swasta dan media mempunyai tanggungjawab
bersama membina sebuah negara yang aman, damai, teguh lagi bersatu. Rakyat tidak akan
dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya
berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara.

123. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang diberi mandat
oleh rakyat pada bulan Mac lalu akan terus memelihara kestabilan politik dan meningkatkan
kemakmuran ekonomi negara. Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini,
dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak. Kita
tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan. Sedikit sebanyak ia
akan memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran
modal. Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan. Saya tidak akan
membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti Barisan Nasional yang telah menang
majoriti pilihan raya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi. Saya yakin rakyat
akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan
tugas-tugas mentadbir negara. We need to get on with the business of governing and not
waste any more time with opportunistic threats to seize the people’s mandate through
undemocratic means, dengan izin.

124. Keamanan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama. Untuk ini,
Kerajaan memerlukan persefahaman dan peranan konstruktif semua lapisan masyarakat,
termasuk mereka yang berbeza fahaman politik. Marilah kita bersama, dalam semangat satu
bangsa satu negara, membangunkan tanah air tercinta ini serta mempertahankan kedaulatan
dan kemerdekaan negara. Marilah kita bersatu membina sebuah negara-bangsa yang terus
gemilang.

125. Semoga Allah S.W.T. sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita.
Semoga kebenaran mengatasi kepalsuan. Semoga negara kita dikekalkan aman sejahtera,
dilimpahkan kemakmuran dan kebahagiaan. Semoga anak cucu kita dapat mewarisi sebuah
negara yang aman lagi makmur. Semoga rakyat hidup bersatu dan maju.


Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.

7 comments:

  1. Halo Setiap Satu, nama saya Dwiokta Septiani am dari Indonesia, saya dengan cepat ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan seluruh Indonesia yang mencari pinjaman di internet sangat berhati-hati untuk tidak jatuh di tangan scammers dan fraudstars, ada banyak pemberi pinjaman kredit palsu di sini di internet dan beberapa dari mereka adalah asli, saya ingin meluncur kesaksian tentang bagaimana Tuhan menuntun saya untuk pemberi pinjaman dan pinjaman nyata genue yang telah mengubah hidup saya rahmat rumput, setelah saya telah tertipu oleh beberapa pemberi pinjaman kredit di sini di internet, saya kehilangan banyak uang untuk membayar biaya pendaftaran, isurance, pajak, dan setelah pembayaran saya masih tidak mendapatkan pinjaman saya. Setelah berbulan-bulan mencoba untuk mendapatkan pinjaman di internet dan scammed beberapa kali uang tanpa mendapatkan pinjaman dari perusahaan mereka sehingga saya menjadi begitu putus asa dalam mendapatkan pinjaman dari pemberi pinjaman kredit genue online yang tidak akan meningkatkan rasa sakit saya, jadi saya memutuskan untuk menghubungi seorang teman saya yang baru-baru mendapat pinjaman online, kita membahas kesimpulan kita tentang masalah dan dia mengatakan kepada saya tentang seorang wanita yang disebut Mrs Anita Charles yang merupakan CEO dari Anita Charles Pinjaman Perusahaan. Jadi saya diterapkan untuk jumlah pinjaman (Rp430,000,000) dengan tingkat bunga rendah dari 2%, tidak mengurus usia saya, karena saya mengatakan kepadanya apa yang saya ingin menggunakan uang itu untuk membangun bisnis dan pinjaman saya disetujui dengan mudah tanpa stres dan semua persiapan yang dilakukan pada transfer kredit dan dalam waktu kurang dari 24 jam setelah pendaftaran pinjaman, itu disimpan ke bank dan mimpi saya datang melalui. Jadi saya ingin saran yang membutuhkan genue pinjaman cepat memanggilnya sekarang email di anitacharlesloancompany@gmail.com. dia tidak tahu bahwa aku melakukan ini. Saya berdoa agar Tuhan memberkati dia untuk hal-hal baik yang telah dilakukan dalam hidup saya. Anda juga dapat menghubungi saya di septianidwiokta@gmail.com untuk info lebih lanjut.

    ReplyDelete
    Replies

    1. Saya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.

      Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.

      Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.

      Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.

      Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut

      Delete
  2. Saya Husnah dan saya mengambil waktu saya keluar untuk bersaksi Ibu Amanda karena dia akhirnya menawarkan saya.
    Saya dan suami saya masuk ke utang yang sangat besar dengan Bank dan kami mencari pinjaman dari perusahaan pinjaman yang berbeda tetapi semua datang ke sia-sia. sebaliknya mereka membawa kita ke dalam lebih banyak utang meninggalkan kami bangkrut sampai saya datang di kontak dengan Ibu Amanda, yang menawarkan pinjaman. Sekarang kita telah akhirnya menetap utang kami dan memulai bisnis baru dengan uang yang tersisa dari pinjaman. Anda dapat menghubungi dia hari ini untuk pinjaman apapun dan jumlah.
    Hubungi Ibu Amanda melalui salah satu email berikut. amandarichardssonloanfirm@gmail.com atau amandarichardson686@gmail.com atau Anda dapat menghubungi saya melalui email saya untuk arahan lebih lanjut ikmahusnah@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Adakah anda memerlukan pinjaman untuk pelaburan yang lebih besar? Pinjaman untuk pengembangan perniagaan? Pinjaman untuk pelaburan baru? Pinjaman untuk membayar hutang dan bil jangka panjang. Tidak perlu lagi, kami adalah pemberi pinjaman bersama bank dan menjamin tawaran yang telus. Kami menawarkan pinjaman faedah 2% tanpa cagaran dan Kami berada di sini untuk meletakkan dan menamatkan kemiskinan dan pengangguran, kerana semua orang mempunyai potensi sendiri. Hubungi kami hari ini melalui E-mel kami: gloryloanfirm@gmail.com dan isikan borang pinjaman tje di bawah

    {Lengkapkan borang di bawah pinjaman}
    Nama anda: ===========
    NEGARA: ===========
    NEGARA ===========
    ALAMAT: ===========
    JENIS GARIS PANDUAN: ===========
    JUMLAH YANG DIPERLUKAN: ===========
    TIME DURATION: ===========
    NOMBOR TELEFON: =========== =============
    Akaun yang lebih baik daripada syarikat yang sah.
    Hubungi e-mel kami: gloryloanfirm@mail.com
    Nota: Tiada apa-apa bayaran cukai dan yuran pendaftaran, sila memohon pinjaman mudah!!

    ReplyDelete
  4. saya ingin kembali semua kemuliaan kepada Allah SWT atas apa yang dia gunakan Ibu Rossa lakukan dalam hidup saya, nama saya adalah Mira Binti muhammad dari klang di malaysia, saya seorang janda dengan 2 anak, suami saya mati dalam kemalangan kereta dan sejak itu kehidupan menjadi sangat kasar bagi saya dan keluarganya dan saya telah cuba untuk mendapatkan pinjaman dari bank-bank di sini di malaysia dan saya dinafikan dan ditolak kerana saya tidak mempunyai cagaran dan tidak boleh mendapatkan pinjaman dari bank dan saya sangat sedih
    pada hari ini yang setia ketika saya melalui internet, saya melihat kesaksian Annisa berkarya tentang bagaimana dia mendapat pinjaman dari Ibu Rossa dan saya menghubunginya untuk bertanya tentang ibu Rossa dan betapa benarnya pinjaman dari ibu Rossa dan dia memberitahu saya memang benar dan saya menghubungi Ibu Rossa dan memohon pinjaman dan pinjaman saya diproses dan diluluskan dan dalam masa 24 jam saya mendapat amaran wang pinjaman saya dalam akaun saya dan ketika saya menyemak akaun saya pinjaman saya utuh dan saya sangat gembira dan saya telah bersumpah bahawa mana-mana syarikat yang meminjamkan pinjaman saya akan memberi keterangan mengenai syarikat itu, jadi saya ingin menggunakan ini medium untuk memberi nasihat kepada semua orang yang memerlukan pinjaman untuk menghubungi ibu Rossa melalui e-mel: rossastanleyloancompany@gmail.com dan anda boleh juga menghubungi saya melalui e-mel saya: mirabintimuhammed@gmail.com untuk maklumat dan juga kawan saya Annisa Barkarya melalui e-melnya: annisaberkarya@gmail.com

    ReplyDelete
  5. Adakah anda sedang mencari pemberi pinjaman swasta? Adakah anda memerlukan pinjaman segera? Adakah anda mempunyai kredit yang buruk? Adakah bank anda gagal? Saya boleh membantu anda mendapatkan pinjaman. Tiada jaminan diperlukan.
    Saya seorang pelabur swasta yang mengkhusus dalam menyediakan semua jenis dana pelaburan, termasuk dana bersama, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman hartanah, kombinasi pinjaman, pinjaman penyatuan, pinjaman komersial dan Tiada penipuan, lebih lagi.

    Tiada permainan, perniagaan sahaja
    Jumlah Pinjaman: Minimum $ 1,000 sehingga jumlah pinjaman maksimum $ 50,000,000.00 Dan nilai mata wang lain
    Kadar faedah pinjaman: 2%
    Kawasan pinjaman: di seluruh dunia
    Tempoh maksimum: sehingga 25 tahun
    Tiada penalti prabayar

    Pembiayaan segera selepas dokumentasi dan kelulusan yang betul.
    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui mesej melalui e-mel peribadi kami di gloryloanfirm@gmail.com

    ReplyDelete
  6. Adakah anda sedang mencari pemberi pinjaman swasta? Adakah anda memerlukan pinjaman segera? Adakah anda mempunyai kredit yang buruk? Adakah bank anda gagal? Saya boleh membantu anda mendapatkan pinjaman. Tiada jaminan diperlukan.
    Saya seorang pelabur swasta yang mengkhusus dalam menyediakan semua jenis dana pelaburan, termasuk dana bersama, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman hartanah, kombinasi pinjaman, pinjaman penyatuan, pinjaman komersial dan Tiada penipuan, lebih lagi.

    Tiada permainan, perniagaan sahaja
    Jumlah Pinjaman: Minimum $ 1,000 sehingga jumlah pinjaman maksimum $ 50,000,000.00 Dan nilai mata wang lain
    Kadar faedah pinjaman: 2%
    Kawasan pinjaman: di seluruh dunia
    Tempoh maksimum: sehingga 25 tahun
    Tiada penalti prabayar

    Pembiayaan segera selepas dokumentasi dan kelulusan yang betul.
    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui mesej melalui e-mel peribadi kami di gloryloanfirm@gmail.com

    ReplyDelete